Firdaus : Wei, jom pergi masjid. Dah lama sangat rasanya aku tak pergi solat berjemaah di masjid.
Daniel : Hish, engkau apasal ni? Dah buang tebiat? Pelik pulak aku tengok engkau semenjak dua menjak ni.
Firdaus : Aku memang teringin sangat nak solat kat masjid. Tapi aku malu lah. Engkau temankanlah aku.
Daniel : Haah, yelah tu. Aku jadi kawan engkau ni pun memang khas untuk teman engkau pergi masjid pun (ayat perli).
Entahlah, kadang-kadang memang ada orang yang ingin berubah ke arah yang lebih baik. Tapi keadaan sekeliling menjadikan dia serba salah. Ada individu yang ingin berhenti melakukan dosa dan maksiat, tetapi tiada orang yang memberi sokongan malah, kata-kata perlianlah yang selalu diperoleh. Apakah?? Mengapakah semua ini berlaku?
Hal ini berlaku apabila tiada usaha secara bersungguh untuk membetulkan yang biasa dalam masyarakat. Dan tidak langsung ingin membiasakan perkara yang betul. Kadang-kadang adat dan budaya diikuti melebihi agama dan syariat Islam.
Bolehkah bersalaman dengan sepupu berlainan jantina yang sudah akil baligh? Persoalan yang sering menjadi kekeliruan kepada orang awam. Sepupu bukanlah tergolong dalam kalangan mahram (haram dikahwini), jadi sudah tentu hukum untuk bersentuhan dengan sepupu adalah haram. Timbulnya kekeliruan adalah apabila persoalan agama dicampuradukkan dengan persoalan budaya dan masyarakat.
Sudah biasa sangat bersalaman dengan sepupu dan tiada langsung dalam kalangan ahli keluarga yang menegur. Hal ini menjadikan ia adalah perkara yang common. Jadi berusahalah untuk membetulkannya.
Solat di masjid, menutup aurat dengan sempurna itu adalah perkara yang betul. Tapi seringkali dipandang enteng oleh ramai orang Islam. Ia sepatutnya dilazimi oleh sesiapa sahaja yang bergelar muslim. Oleh itu, biasakanlah segala melakukan yang betul supaya sama-sama dapat menggapai mardhatillah.
Akhir kata, hukum syariat Islam adalah yang lebih utama berbanding hukum adat dan budaya. Janganlah kita menggadaikan agama, semata-mata untuk memuaskan hati mana-mana pihak. Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya.
Wallahu’alam.