Monday, September 27, 2010

'Surat' Untuk Mentor...



Bismillahirrohmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarokatuh.
Orang lain ada blog, kita juga teringin memiliki blog. Sebeanrnya, bukanlah suka sangat mengarang2 ni. Hari ini saya ada mengarang esei tentang latar belakang diri dan matlamat belajar di UKM. Mentor saya suruh hantar kat dia. Huh... Dah lama tak buat esei kot.Dah tepu otak ni dgn benda2 math ni. Tapi, alhamdulillah, mentor  saya ni baik orangnya. Dia tidak pernah marah2 pun. Nama mentor saya adalah Prof. Madya Dr. Khairul Anuar bin Mohd Ali. Dia mengajar saya subjek microeconomic untuk first half semester ni... So, dah alang2 siapkan esei tu, saya rase macam nak post esei tu kat blog saya yg baru 'lahir' ni. lebih kurang macam nak introduce myself la..


"Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarokatuh.


            Nama diberi, Harith Faisal Bin Mohd Imam Ma’arof. Saya lahir pada 10 Mac 1991. Saya anak yang ke-4 daripada lapan orang adik-beradik. Ayah saya bekerja di Institut Tanah dan Ukur Negara(INSTUN), Behrang Ulu. Manakala, ibu saya pula adalah surirumah. Saya berasal dari Slim River, Perak. Jika lebih spesifik, saya menetap di Felda Sungai Behrang. Semenjak lahir, saya tidak pernah menetap di luar daripada Felda Sungai Behrang. Semasa umur saya lebih kurang 5 tahun, keluarga saya berpindah ke Slim River. Tapi, saya tidak ikut pindah kerana sebab-sebab tertentu. Pada waktu itu, saya tinggal bersama nenek dan ibu saudara saya. Kemudian lebih kurang dua hingga tiga tahun kemudian, keluarga saya kembali menetap di Felda Sungai Behrang hinggalah sekarang.

Mendapat pendidikan awal di Tadika KEMAS Sungai Behrang. Kemudian, belajar di SK Sungai Behrang. Seterusnya, mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Agama Persekutuan, Labu tapi saya menolak tawaran ke sana kerana saya lebih suka untuk mendaftar di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Slim River. Mungkin sebab yang utama adalah kerana lokasinya yang berhampiran dengan rumah saya iaitu lebih kurang 5km sahaja. Kemudian selepas mendapat keputusan Penilaian Menengah Rendah(PMR), saya mendapat tawaran ke Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gopeng. Walaubagaimanapun, saya mengabaikan tawaran tersebut kerana saya merasakan bahawa saya lebih sesuai untuk meneruskan pengajian saya di SMKA Slim River.

Alhamdulillah, saya berjaya menamatkan zaman pesekolahan saya di SMKA Slim River. Menggunakan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia(SPM) yang saya peroleh, saya ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran ke Kolej Matrikulasi Perak, Gopeng (KMPk) dalam jurusan Sains Fizikal dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam Asasi Kejuruteraan. Ibu bapa saya bukanlah orang yang pendesak. Mereka memberikan kebebasan kepada anaknya untuk memilih hala tuju masing-masing asalkan tidak melanggar batasan agama. Jadi, setelah berfikir panjang, saya mengambil keputusan untuk meneruskan pengajian di Kolej Matrikulasi Perak.

Maka, bermulalah kehidupan saya di matrikulasi. Suasana di sana sangat berbeza jika dibandingkan dengan suasana di SMK Agama. Namun begitu, pilihan telah dibuat. Jadi kehidupan tetap perlu diteruskan. Pantang mengalah sebelum berjuang. Semester satu dilalui dengan jayanya walaupun keputusan peperiksaan akhir bagi semester satu kurang memberangsangkan. Apabila, memasuki pengajian di semester dua, terasa diri ini dapat menyesuaikan diri dengan keadaan pembelajaran di sana. Peperiksaan akhir semester dua dihabiskan dengan lebih yakin berbanding dengan semester satu. Mungkin kerana persediaan yang dilakukan adalah pada tahap yang maksima. Apabila keputusan diumumkan, saya adalah antara insan yang paling gembira kerana dapat keputusan yang boleh mengembirakan hati ibu bapa saya.

Kemudian, saya kembali berada dalam dilema apabila perlu untuk menetapkan kembali hala tuju perjalanan pengajian saya. Apakah kursus yang akan saya ambil? Universiti yang mana satu patut saya pilih?  Akhirnya, saya dengan tekad dan juga restu daripada ibu bapa saya, saya telah memilih untuk memilih kursus Sains Aktuari di Universiti Kebangsaan Malaysia(UKM) sebagai pilihan pertama saya semasa mengemaskini permohonan di laman web rasmi Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar Jabatan Pengajian Tinggi. Saya mendapat tahu tentang kewujudan kursus ini semasa berbual dengan abang saya pada pertengahan tahun 2009. Selepas itu, saya terus mengkaji tentang kursus ini melalui pelbagai sumber terutamanya daripada internet. Saya telah jatuh cinta dengan kursus ini. Walaupun seringkali diperkatakan oleh orang lain bahawa kursus ini sangat susah, saya mengabaikannya.

Pada hari semakan permohonan ke IPTA dibuka, saya sangat gembira kerana doa selama ini telah dimakbulkan. Permohonan saya untuk mengikuti kursus Sains Aktuari di Universiti Kebangsaan Malaysia telah berjaya. Alhamdulillah. Setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Ilahi kerana kurniaan ini. Sebelum mendaftar, saya telah mendengar banyak perkara tentang kehidupan pelajar di universiti yang bebas, ‘enjoy’, pergaulan tidak terjaga dan sebagainya. Adakah saya akan mengalami kejutan budaya? Saya berharap, saya dapat menjaga diri saya daripada terlibat dengan perkara-perkara negatif sepanjang pengajian saya di universiti ini.

Setelah diri sendiri mengalami suasana pembelajaran di universiti, maka dapatlah saya simpulkan bahawa kehidupan di sini sememangnya tepat sepertimana yang diceritakan oleh keluarga, kawan-kawan, senior-senior dan ramai lagi. Pergaulan bebas, tiada biah(suasana) solehah, kurang pengamalan agama dan sebagainya. Namun begitu, kehidupan mesti diteruskan. Ya Allah, bantulah hambaMu ini untuk meneruskan kehidupan yang penuh cabaran dan dugaan di bumi bertuah ini. Amin.

Matlamat saya adalah supaya saya dapat menghabiskan pengajian saya di sini dengan mendapat keputusan yang cemerlang dan dapat lulus dalam "International Exam" Sains Aktuari. sebanyak yang mungkin sebelum majlis konvokesyen. Tetapi, bagi saya keputusan yang cemerlang sahaja tidak menjamin kehidupan seseorang itu berjaya. Sebagai seorang mahasiswa, kita mestilah memiliki ‘softskill’ yang baik untuk ‘survive’ dalam kehidupan. mahasiswa hari ini terlalu mengamalkan budaya 3K (kuliah,kafe,kolej kediaman)... rugi!! mahasiswa harus berfikir jauh ke hadapan. Saya berpendapat bahawa, mahasiswa mestilah pandai berorganisasi dan terlibat dengan aktiviti-aktiviti yang membolehkan seseorang mahasiswa itu menambahbaikkan ‘softskill’ yang sedia ada. Saya suka aktiviti-aktiviti yang sebegini. Sebenarnya, perkara inilah yang akan melahirkan mahasiwa yang cemerlang, matang dan berfikiran pemimpin.. ingatlah, pemimpin yang sejati tidak hanya lahir di dewan kuliah, tapi juga daripada kancah permasalahan rakyat dan masyarakat.

Saya rasa, sampai di sini sahajalah coretan mengenai latar belakang dan juga harapan saya sepanjang pengajian saya di Universiti Kebangsaan Malaysia ini. Semoga dipermudahkan oleh Allah segala urusan. Amin.

Sekian. Terima kasih.
Assalamualaikum warohmatullahi wabarokatuh."

Jadi, begitulah serba sedikit tentang diri saya. Sekarang masih bertatih lagi dalam arena blogging2 ni.. Minta tunjuk ajar daripada senior2 dalam bidang ni ye.. Tak baik kedekut ilmu.. Wasalam..
"PERJALANAN BERIBU BATU DIMULAKAN DENGAN LANGKAH YANG PERTAMA"

2 comments:

  1. semoga berjaya dengan kursus Sains Aktuari,harith :)

    ReplyDelete
  2. Salamualaikum...subhanallah..agak memberi inpirasi...:)..may Allah bless u...

    ReplyDelete