Sunday, January 30, 2011

Bertamu Di Taman Syurga

“Wei, ada ceramahlah kat masjid UKM lepas maghrib ni. Jom pergi.”
“Hm, seganlah. Lagipun ceramah-ceramah tu untuk ustaz ustazah boleh lah. Aku ni bukannya baik sangat pun.”
“Ish, macam tu pula? Siapa-siapa pun boleh pergi ceramah ni.”
“Malaslah. Ceramah-ceramah ni bosan. Kalau aku pergi pun, bukannya ikhlas. Lebih baik aku tak pergi.”

Begitulah serba sedikit realiti kehidupan kita. Saat di ajak ke majlis-majlis ilmu, perbagai alasan yang diberikan. Ada-ada sahaja alasan yang terkeluar daripada mulut mereka walaupun kadang-kadang ia adalah tidak masuk akal.


Sebenarnya entry kali ini adalah kesinambungan daripada entry saya yang sebelum ini iaitu FPI: Dengki Dengan Mereka. Ingin sekali saya memetik sedikit kenyataan daripada entry tersebut:

“Pelajar Sains Aktuari boleh belajar ilmu-ilmu agama melalui ceramah, forum dan apa-apa majlis ilmu. Sedangkan hampir mustahil untuk pelajar pengajian Islam untuk dengan rela hati menghadiri kuliah-kuliah berkaitan Sains Aktuari dan sebagainya. Bersyukurlah dengan takdir Ilahi.”

Dalam kita sibuk menghadiri kuliah, menyiapkan tugasan dan mengulangkaji pelajaran, aspek kerohanian janganlah sesekali dilupakan. Lazimkanlah diri untuk menghadiri kuliah-kuliah agama di masjid atau surau-surau. InsyaAllah, anda akan merasai kemanisan menuntut ilmu itu nanti.

Best sangatkah dengar ceramah kat masjid tu?

Soalan yang sering terlintas di fikiran orang yang tidak biasa menghadirinya. Sebenarnya, kadang-kala, ada dalam kalangan golongan ini yang tertarik dan ingin benar untuk mendalami ilmu agama, menghadiri kuliah-kuliah agama dan sebagainya. Namun begitu, mereka malu dan segan kerana mereka menganggap mereka tidak sesuai berada di tempat sebegitu. Dan yang lebih malang lagi, tiada insan yang membimbing dan menemani mereka ke sana. Jadi, ini adalah tanggungjawab para da’ie. Ajaklah seramai mungkin sahabat-sahabat anda ke majlis ilmu. Jangan pilih bulu. Pandanglah setiap orang itu mempunyai potensi untuk berubah. Bagaimana mungkin hidayah Allah akan bertamu di jiwa-jiwa itu jika anda sebagai seorang da’ie meletakkan sendiri hijab untuk memilih mad’u. Nauzubillahi min zalik.

Jika ajakan pertama kita ditolak, janganlah berputus asa wahai para daie. Ingatlah, hidayah itu adalah milik Allah. Kita hanya boleh berusaha mengajak mereka untuk menggapai hidayah Allah itu.

“Sesungguhnya kamu (hai Muhammad) tidak akan dapat memberi hidayah (petunjuk) kepada orang yang kamu cintai, tetapi Allah lah yang memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah lebih mengetahui orang-orang yang mahu menerima petunjuk.”
(QS. Al-qoshosh, 56)


Apalah yang kau dapat pergi ceramah tadi?

Orang yang menghadiri majlis ilmu, Allah akan anugerahkan kepadanya ketenangan tatkala mutiara-mutiara ilmu itu diserap dan disemat di minda dan jiwa-jiwa mereka. Malaikat juga akan sentiasa mendoakan orang yang sedang berada dalam majlis ilmu. Para malaikat sangat suka akan majlis ilmu sehinggakan para malaikat mengembangkan sayapnya untuk memayungi orang-orang yang berada dalam majlis ilmu. Semoga kita sentiasa cinta untuk menjadi tetamu di taman-taman syurga seperti ini.

Sabda Rasulullah s.a.w.:
Maksudnya : “Apabila kamu melalui (bertemu) dengan taman-taman syurga (di atas muka bumi ini), maka hendaklah kamu berhenti untuk menikmati (hasilnya). Lalu Sahabat pun bertanya: Apakah dia taman-taman Syurga tersebut? Rasulullah berkata: Majlis-majlis ilmu.  (Hadis riwayat at-Tirmizi).

Pelik betullah. Macam mana kau boleh tahan dengar ceramah tu sampai berjam-jam?

Pelik. Memang pelik bagi orang yang tidak biasa. Tapi, bagi orang yang sering melazimi diri untuk menghadiri majlis ilmu sebegini, sudah tentu ia tidak menjadi masalah. Malahan, nikmat menuntut ilmu yang dikurniakan Allah menjadikan ceramah yang berjam-jam itu seperti sekejap sahaja. Tidak puas.

Gambar hiasan.
Ini adalah realiti. Masyarakat pada hari ini begitu dahagakan ilmu agama. Saya ingin mengambil contoh di Surau An-Nur Bandar Baru Bangi. Kuliah maghribnya sahaja berjaya mengumpulkan lebih daripada 200 orang jemaah. Subhanallah. Namun begitu, yang mengungguli kehadiran adalah dalam kalangan orang yg berumur 30 ke atas bersama kanak-kanak di sisi mereka. Barangkali anak ataupun cucu-cucu mereka. Jadi persoalannya, di mana anak-anak remaja mereka? Di mana golongan belia 20-an yang akan mewarisi kepimpinan negara kelak? Sedang melepak? Menonton wayang? Facebooking?

Sedih betul.

Dengan gegala sosial serta jarum sekularisme yang kian rakus menodai jiwa-jiwa muslim pada hari ini, kita harus bangkit. Kita harus sedar bahawa Islam kini sedang diinjak-injak dalam kehinaan. Binalah benteng keimanan yang kukuh dengan menghadiri majlis-majlis ilmu supaya tidak terjerumus dalam jurang kesesatan yang nyata itu.


Jika,
Sudah lama jiwa tak terisi dengan ilmu,
Sudah lama hati tidak diketuk untuk bermuhasabah,
Sudah lama nurani tidak disuburkan dengan ingatan pada Tuhan,

Marilah sama-sama kita bertamu di taman-taman syurga. Moga kita akan peroleh manfaat daripadanya. InsyaAllah.
Wallahu’alam.

Monday, January 24, 2011

FPI: Dengki Dengan Mereka

Beberapa hari lepas, saya telah update status Facebook saya. Status itu lebih kurang macam ini:

"Kadang-kadang, terasa iri hati dengan kawan-kawan daripada Fakulti Pengajian Islam (FPI). Mereka dapat belajar banyak ilmu akhirat tiap-tiap hari, dapat belajar Al-Quran dan hadis-hadis, belajar Bahasa Arab, dapat selalu berdamping dengan orang-orang alim ulama'. Mesti dapat banyak barakah. Memang teringin berada di tempat mereka. Namun, pilihan telah dibuat. Hidup mesti diteruskan.
~ Now, struggling in FST for Actuarial Science!!"


Dan respon yang saya dapat daripada pengguna-pengguna Facebook adalah:

“Fardu kifayah harus kita laksanakan! For the good of ummah too... Hehe

“Saya juga merasa perkara yang sama sejak dari dulu. Tapi, kena redha. Allah dah pilih kita di bidang kita sekarang. Orang yang belajar ilmu dunia diperlukan lebih banyak daripada orang yang belajar ilmu agama untuk mahir dalam ilmu-ilmu dunia supaya umat Islam tak mundur, berdepan dengan musuh-musuh Islam yang semakin maju dalam banyak bidang. Jadi, jadilah saintis yang mengamalkan Islam dalam seluruh hidupnya walaupun bukan seorang ahli di bidang agama, insyaAllah”

“Bertuahnya kamu kerana ada ilmu tambahan yang tak ada pada orang yang belajar pengajian Islam, iaitu 'Actuarial Science'! Islam is your deen, so even if u are not in FPI courses, you will still search for the 'ilm of akhirah while struggling in Actuarial Science, because you know your role as a Muslim. But let me ask, is there any FPI students who will bother theirselves to take extra classes n study Actuarial Science (just for the addition of knowledge, no specific reasons to study Actuarial Science) while studying the Islamic courses? The answer is NONE or SUPER-FEW. See you got the bonus there!”

“Okey je. You finish this field then continue to Islamic studies. Timing je kena betul

"Salam. Hanya sekadar perkongsian. Kalau nak tahu, kat Mesir ni pelajar-pelajar agama yang sangat cemburu dgn pelajar-pelajar perubatan kerana pelajar perubatan berada di aliran fardu kifayah tetapi dalam masa yg sama seiring dengan pelajar agama mengejar fardu ain. Kiranya di sini persaingan dalam mengamalkan agama itu jadi seakan kewajipan pada semua tidak mengira apa bidang sekalipun. Nak katanya di sini, kita yang berada di aliran sains ini sebenarnya beruntung kerana kita diberi anugerah kasih sayangNYA untuk membawa fardu kifayah dan fardu ain seiring. Yang penting bagaimana caranya mahu mendapatkn ilmu itu. So, jangan rasa cemburu dengan mereka yang merupakan pelajar agama kerana tanggungjawab kita sebagai pelajar sains juga tidak kurang beratnya. Memanfaatkan pengetahuan sains seiring agama itu sukar tanpa niat yg betul. Smile yaa. Wasalam."

“Kalau pelajar agama sndiri tak tunjuk Islam yang betul, maka terfitnahlah Islam kerananya.”


Semua respon yang diberikan benar-benar belaka. Terima kasih sahabat sekalian. Jadi, kepada pelajar-pelajar FPI, berusahalah sebaik mungkin untuk menjadi role model kepada masyarakat. Tunjukkan sahsiah terbaik. Ketahuilah bahawa, Allah memilih kalian untuk berada di tempat kalian sekarang sedangkan ramai lagi yang mahukannya. Tapi, pelajar-pelajar daripada fakulti lain juga mesti sama berusaha menjaga akhlak dan menjadi penyokong dan pendokong agama Allah ini. InsyaAllah.

Wallahu’alam.

P/S: Pelajar Sains Aktuari boleh belajar ilmu-ilmu agama melalui ceramah, forum dan apa-apa majlis ilmu. Sedangkan hampir mustahil untuk pelajar pengajian Islam untuk dengan rela hati menghadiri kuliah-kuliah berkaitan Sains Aktuari dan sebagainya. Bersyukurlah dengan takdir Ilahi.

Monday, January 17, 2011

Kalau Sayang Tak Perlu Marah?


Argh...!!! Marah. Marah. Marah.

Reaksi marah ini adalah sesuatu yang normal sebagai seorang manusia. Jika anda tidak pernah marah, anda mungkin adalah makhluk daripada planet lain. Gurau sahaja. Bersifat marah itu adalah berpunca dari perasaan panas hati kerana sesuatu sebab yang tertentu seperti tersinggung perasaan atau dihina, ditipu dan terasa diri dibuli.




Apabila seseorang itu marah, maka syaitan dan iblis akan menguasai nafsu untuk mengheret sesoorang itu menjadi lebih marah lagi, hingga kadang kadang akan bertindak diluar batasan kemanusian. Ada orang yang mampu menahan amarahnya walau dia berada dalam situasi apapun. Namun begitu, ada juga insan yang panas baran. Tidak mampu untuk menahan amarah walaupun hanya melibatkan sekecil-kecil perkara.

Realitinya, ketika memarahi seseorang, seronoknya di awal dan pahitnya datang kemudian. Kita berasa seronok memarahi orang yang bersalah itu kerana dia telah menerima maki hamun kita. Kita berasa puas. Dia mendapat balasan kerana perbuatannya sendiri.


Sebaliknya, jika kita menahan marah, ia sememangnya pahit kerana kita mungkin dituduh pengecut atau dayus kerana membiarkan sahaja diri kita diperlekehkan dan dipersalahkan orang walaupun terang-terangan kesalahan itu bukan berpunca daripada kita. Tetapi, ingatlah sahabat-sahabat, kita akan merasa manis di akhirnya kerana kesabaran untuk menahan marah itu sememangnya manis.

Balasan baik hindari marah. Abu Hurairah dan Said Al-Magburi meriwayatkan: “Ada seseorang lelaki memarahi Saidina Abu Bakar. Ketika itu Rasulullah duduk di sebelahnya.

Nabi diam saja, begitu juga Abu Bakar.

Selepas orang itu selesai memaki hamun dengan mengeluarkan kata-kata kesat, Abu Bakar membalas makian itu, tetapi Rasulullah bangun dan beredar dari situ.

Abu Bakar hairan dan terus mengekori Nabi Muhammad sambil berkata: “Ya Rasulullah, dia memaki saya dan engkau pula diam. Ketika saya menjawab maki hamun itu, tiba-tiba engkau bangun lalu pergi.”

Rasulullah lantas menjawab: “Sesungguhnya malaikat mengembalikan semua makian orang itu kepadanya ketika engkau diam, tetapi ketika engkau membalas makian itu, maka malaikat pergi dan syaitan pula masuk dan saya tidak suka duduk bersama syaitan.”

Rasulullah kemudian bersabda lagi: “Allah akan memuliakan hamba-Nya ketika sedang dianiaya lalu memberikan kemaafan sambil mengharapkan keredaan Allah.”


Abu Said al-Khurdi pula berkata: Rasulullah ada bersabda: “Awaslah kamu daripada sifat marah kerana marah itu menyalakan api dalam hati anak Adam.

“Maka sesiapa yang berasakan demikian ketika berdiri, hendaklah dia duduk dan jika dia duduk hendaklah ia berbaring.”

Abu Hurairah al-Bahili berkata bahawa Rasulullah pernah bersabda: “Sesiapa yang pemarah tetapi dapat menahan marahnya dengan sabar, maka Allah akan mengisi hatinya dengan keredaan pada hari kiamat.”

Begitulah betapa Islam menuntut para penganutnya supaya menahan marah.


Marah Tanda Sayang

Reaksi marah sering dikaitkan dengan kebencian. Ya, memang benar bahawa perasaan marah itu timbul kerana kebencian, kerana dendam kesumat. Namun begitu, untuk sesetengah situasi yang lain, marah itu dikaitkan dengan sayang terutamanya apabila ia melibatkan orang-orang yang rapat dengan kita.


Ayah: “Kenapa tak solat-solat Asar lagi? Kan dah nak dekat Maghrib tu. Cepat solat sekarang!!”

Abang: “Adik, abang tak suka lah adik bercampur dengan budak-budak nakal tu. Kalau abang nampak lagi lepas ni, tahulah!!”

Warden: “Asyik-asyik muka kamu je yang ‘kantoi’ fly. Mari sini masuk bilik warden. Bila sudah merasa rotan baru nak beringat kot.”


Apabila ayah, ibu, abang, kakak mahupun cikgu memarahi kita, adakah itu bermaksud mereka membenci kita? Ataupun mereka marah kerana mereka sayang?

Jawapannya, sudah tentulah kerana mereka menyayangi kita. Ibubapa mana yang mahu melihat anak-anaknya terus hanyut dalam kehidupan yang penuh dengan cabaran ini? Lagi-lagi dalam zaman moden berteknologi tinggi ini, anak-anak daripada setiap peringkat umur dihidangkan dengan hiburan yang melampau. Budaya hedonism menguasai setiap pelosok kediaman. Mr Google dan Mr Facebook menjadi kewajipan anak-anak zaman ini. Meracuni pemikiran mereka semua. Menjadikan mereka bebas mengakses apa-apa sahaja yang mereka ingini. Di tambah pula dengan isu pergaulan bebas, zina, pembuangan bayi dan kefahaman agama yang kurang.

Huh! Anak-anak moden kini. Terlalu terkehadapan hingga meninggallkan agama Islam jauh di belakang. Inilah yang akan berlaku jika ibubapa langsung tidak menegur atau memarahi anak-anak yang melakukan kesilapan. Perkara ini mesti diambil berat semenjak mereka kecil lagi. Jika terlambat sedikit, sudah pasti, teguran ibu bapa tadi dibalas dengan maki hamun oleh anak yang tidak mengenang jasa tersebut.

Kesimpulan

Jadilah kita hamba Allah yang mampu menahan amarah. Tidak rugi sekiranya kita membalas orang yang sedang marah itu dengan berlapang dada dan senyuman. Ia adalah lebih baik daripada membalasnya dengan marah. Kerana jika marah dibalas marah ibarat api dibalas dengan api, sudah tentulah api tersebut akan lebih marak. Tetapi, jika dibalas dengan senyuman dan cara-cara lain yang berhikmah adalah ibarat api yang disiram dengan air. InsyaAllah perasaan amarah itu akan hilang sedikit demi sedikit. Bersikap rasionallah dalam setiap situasi. Jangan bertindak ikut emosi dan nafsu semata-mata. Senyum sokmo.

Wallahu’alam.


Saturday, January 8, 2011

Your Life Your Choice - Edisi PRK

Sedarkah sahabat-sahabat sekalian bahawa hidup kita adalah dipenuhi dengan pilihan dan pengorbanan? Hidup kita diteruskan dari sehari ke sehari dengan pilihan yang kita lakukan. Manakala, apa-apa yang tidak menjadi pilihan kita secara automatiknya akan menjadi pengorbanan bagi diri kita.

Dan perkara yang perlu diingati, selepas kita membuat pilihan dalam hidup kita, pilihan itu akan berpecah kembali menjadi pilihan dan pengorbanan kerana hidup ini perlu diteruskan dengan segala keputusan yang akan kita putuskan. Sekali lagi kita akan memilih jalan hidup kita. Rutin ini tidak akan berakhir hinggalah roh terpisah daripada jasad meninggalkan dunia yang fana ini. Berani dan yakinlah dalam membuat keputusan.


Mari kita sama-sama telusuri kembali zaman silam. Saya tidak mahu mengimbau zaman yang terlalu jauh tapi cukuplah sekadar zaman kita masih di bangku sekolah. Zaman sekolah menengah. Selepas SPM. Kita mempunyai pilihan tempat untuk melanjutkan pengajian kita sama ada di Kolej Matrikulasi, Program Asasi Universiti, STAM, STPM, Politeknik mahupun ke luar negara. Andaikata kita memilih untuk melanjutkan pengajian ke Kolej Matrikulasi, maka tawaran-tawaran yang lainnya akan menjadi pengorbanan bagi diri kita.

Adalah mustahil bagi kita manusia biasa untuk berada di dua tempat sekaligus. Jadi pilihan telah dibuat, hidup harus diteruskan. Perkara yang sama berlaku semasa pemilihan universiti untuk pengajian sarjana muda. Jika UKM menjadi pilihan anda, sudah tentu  UPM, UiTM, UTM dan lain-lain universiti akan menjadi pengorbanan dalam hidup kita.

Bahang Pilihanraya Kampus (PRK) kian terasa di kebanyakan universiti di seluruh Malaysia. Dijangkakan PRK bagi UKM akan dijalankan dalam masa yang terdekat. Sebagai mahasiswa yang prihatin, kita seharusnya cakna dan peka dengan isu-isu semasa. Janganlah hanya menjadi mahasiswa yang hanya hebat di dewan kuliah dan dewan peperiksaan tetapi bila dicampakkan ke dalam kelompok masyarakat menjadi patung boneka yang hanya mengikut sahaja segala sistem yang sedia ada. Kita seharusnya bersikap kreatif dan kritis untuk membina kemahiran insaniah (soft skills) seperti yang diingini oleh pihak universiti. Kritikan yang membina lebih baik daripada diam seribu bahasa mengiyakan semua perkara.

Berbalik kepada pilihan dan pengorbanan. PRK menginginkan mahasiswa untuk membuat pilihan. ASPIRASI UKM ataupun GABUNGAN MAHASISWA UKM (GMUKM). Inilah yang dinamakan demokrasi. Janganlah demokrasi ini dikotori dengan ugutan dan ancaman yang tentu sekali akan membantutkan mahasiswa untuk memilih calon mahupun parti yang sememangnya sesuai dengan fitrah mereka.

http://aspirasi-ukm.blogspot.com/

http://gm-ukm.blogspot.com/
Kewajipan melantik pemimpin yang adil adalah merupakan satu tanggungjawab yang tidak dapat disangkal lagi buat setiap insan yang mengungkap dua kalimah syahadah. Kepincangan dalam pemilihan ini sebenarnya boleh membawa kepada lenyapnya keadilan dan keamanan dan seterusnya akan meletusnya kemungkaran dan kerosakan yang tidak terhingga.

Maka tidak hairanlah, Islam telah menjanjikan kedudukan yang tinggi kepada para imam yang adil dan mereka inilah pewaris para nabi yang sentiasa menjaga kesucian agama Allah daripada terus dicemari.Sabda Rasulullah dalam hadisnya:

"Orang yang paling disayangi oleh Allah pada hari kiamat dan paling rapat kedudukan nya dengan Allah kelak ialah para imam yang adil". (Riwayat Tarmizi)

Justeru, Islam telah melakarkan kepada kita beberapa ciri yang perlu ada pada pemimpin rabbani ini antaranya:

1 . Islam. Pemimpin itu mestilah seorang muslim yang benar-benar menghayati agamanya dan bukannya Islam hanya pada kad pengenalan sahaja tetapi tidak mengamalkan syariat Islam dalam kehidupan.

2 . Adil . Sifat ini perlu dimiliki oleh pemimpin umat islam. Ia adalah ibarat penyaksian kepada terlaksananya hukum Allah atau tidak dimuka bumiNya ini.

3 . Ilmu. Golongan ulama dan umara perlu digabungkan untuk membentuk satu kesatuan bersepadu merencanakan arah geraknya masyarakat Islam didalam kehidupan seharian. Apatah lagi kalau sifat ini dimiliki pula oleh seorang pemimpin yang berwibawa dan berhemah tinggi.

4 . Melaksanakan hukum Allah. Pemimpin yang sering manganjurkan program-program yang lagho, sia-sia dan melanggar hukum Allah sudah tentu tidak menjadi pilihan.

5 . Bersikap sama rata dan tidak berlaku zalim. Tidak berlaku zalim dengan menggunakan peruntukan yang diberi sewenang-wenangnya.


Sepotong kata-kata jawapan yang telah dinyatakan oleh Al-imam Hasan al Basri kepada Amirul Mukminin –Umar bin Abd Aziz ketika ditanya tentang apakah kriteria sebenar seorang pemimpin umat islam dengan katanya,

" Sesungguhnya Allah telah menjadikan para imam yang adil itu adalah pembaiki kepada kerosakan, pembetul kepada penyelewengan, pemusnah kepada kezaliman dan pembela kepada yang lemah, pembantu kepada yang dizalimi. Dialah yang melaksanakan hak-hak Allah kepada hambanya, mendengar ayat-ayat Allah dan memperdengarkannya kepada rakyatnya, melihat tanda kekuasaaannya dan memperlihatkannya kepada mereka, berjalan diatas tali Allah dan mengajak manusia bersamanya, dia umpama seorang hamba kepada para rakyatnya –menjaga harta dan juga keluarga tuannya, tidak sekali-kali menghukum dengan cara jahiliah dan mengikut hawa nafsu mereka,tidak menyelusuri jalan orang-orang yang zalim, tidak bersifat dengan golongan pembesar mustakbirin dalam menindas golongan lemah mustad'afin, dialah penjaga anak yatim, pembantu kepada orang–orang miskin, mendidik anak-anak mereka dan menjaga kaum tua mereka."

Beginilah kriteria kepimpinan yang diimpikan oleh Islam. Cuma apa yang diharapkan ialah mereka ini mampu untuk melaksanakan perintah dan hukum Allah di atas bumi ini. Pilihan dan pengorbanan. Jika anda tidak memilih pemimpin yang bercirikan Islam, seolah-olah anda mengorbankan Islam. Seakan-akan anda memperlekehkan Islam.


Jadi, timbul persoalan oleh sahabat-sahabat bahawa tiada satu pun calon yang bertanding dalam PRK yang menepati semua ciri yang telah digariskan Islam seperti yang dinyatakan sebentar tadi. Jawapan saya mudah sahaja. Sememangnya diakui bahawa tiada manusia yang sempurna selain junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW. Oleh itu, pilihlah calon-calon atau parti yang menghampiri ciri-ciri tersebut. Pilihlah yang paling hampir. Semoga Allah mengira undi anda sebagai satu ibadah dan jihad untuk bersama-sama pendokong agama untuk memartabatkan Islam di bumi UKM ini.

Pilihan di tangan anda. Andai pilihan telah dibuat berdasarkan ciri-ciri pemimpin Islam tersebut. Yakinlah dengan janji Allah bahawa Allah akan menolong orang yang membantu agamaNya. Abaikan segala ugutan dan ancaman.

ASPIRASI UKM ??

atau

GABUNGAN MAHASISWA UKM ??

YOUR LIFE YOUR CHOICE.

Wallahu’alam.

Saturday, January 1, 2011

Tanduk Syaitan di KLCC ?

31 Disember 2010.
11.30 malam.

Saya dan sahabat-sahabat seusrah tiba di hadapan Suria KLCC. Mencari parkir kereta yang paling berhampiran dengan Masjid As-Syakirin. Tujuan utama kami berada di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur ini adalah untuk melihat dengan mata kepala kami sendiri bagaimana suasana penduduk Malaysia yang kita cintai ini meraikan Sambutan Tahun Baru.


Gambar yang diambil menggunakan camera telefon bimbitku pada malam itu.
Pada pukul 11.30 malam, jalan-jalan sekitar KLCC sudah dipenuhi dengan makhluk-makhluk yang digelar manusia. Sememangnya sukar bagi kami untuk mendapatkan parkir kereta yang terbaik. Kereta-kereta penuh di lot-lot parkir dan bahu-bahu jalan menunjukkan betapa ramainya orang yang berkumpul di situ. Akhirnya kami bahu jalan juga menjadi pilihan terakhir kami. Agak jauh daripada Masjid Asy-Syakirin.

Mengapa mereka semua berkumpul pada hari ini? Sedih. Kecewa. Pilu rasanya apabila melihat majoriti yang berada di sekitar KLCC, menghabiskan saki baki 2010 ini dengan sia-sia adalah dalam kalangan remaja-remaja Melayu kita. Dan sudah tentu sekali mereka dilahirkan sebagai seorang muslim mahupun muslimah. Tidakkah ibu bapa mereka melarang mereka daripada meraikan Sambutan Tahun Baru sebegini? Bercampur lelaki dan perempuan. Ikhtilat sudah tentulah tidak terjaga. Melepak sana-sini tanpa matlamat dan tujuan. Jika adapun ibu bapa yang melarang, sudah tentu itu bukanlah jaminan untuk mereka menerimanya?

Huh! Jahil sangatkah masyarakat kita? Adakah kita sedang kembali ke zaman jahiliah. Zaman yang mana masyarakat di dalamnya mengamalkan perkara-perkara yang bercanggah dengan hukum Allah. Jangan sampai masyarakat kita dilenyapkan oleh Allah dalam keadaan kita menzalimi hukum Allah dan diri kita sendiri sebagaimana Allah melenyapkan kaum Aad dan Samud. Nauzubillahimin zalik.

Yang paling menonjol ketika setiap kali sambutan malam tahun baru beberapa tahun kebelakangan ini ialah pemakaian ‘tanduk syaitan’ di kepala. Tidak kira lelaki, perempuan, kanak-kanak atau dewasa, bahkan perempuan bertudung juga ada yang memakainya. Sejenis cekak yang dipakaikan di kepala menyerupai tanduk syaitan. Dijual dengan perbagai warna dan saiz dengan harga RM4-5. Merah, hijau, biru dan sebagainya. Ramai yang mengenakannya di kepala pada malam ini. Semuanya mahu jadi syaitan mungkin. Nasib baik ekor syaitan tidak dijual.



1 Januari 2011.
12.00 tengah malam.

Persembahan bunga api. Malaslah nak hurai mengenainya. Semuanya sudah sedia maklum.

Pada malam ini, saya dan sahabat-sahabat usrah  akan menyertai Gerakan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) untuk menyebarkan risalah dan mendekati, seterusnya menyelami jiwa-jiwa yang berkeliaran tanpa tujuan yang pasti. Program ini telah mendapat sambutan lebih 600 mahasiswa dari pelbagai kampus diseluruh Malaysia antaranya UIA Kuantan, USIM, UMP, USM, UKM, UIA Gombak, UKMKL, UM, Darul Quran, UPM, UNISEL, MSU, UNITEN, Kolej Lagenda, KUIS, Institut Pendidikan Bangi dan beberapa kampus lain.Di masjid Asy-Syakirin, selepas sedikit taklimat daripada pihak GAMIS, kami dipecahkan kepada beberapa kumpulan kecil. Kami memulakan langkah dengan penuh semangat ke setiap pelosok Bandar raya Kuala Lumpur.
Sesi taklimat.
Ustaz Nazri ( Naib Presiden 3 GAMIS) sedang membaca doa.
Pelbagai reaksi dan respon diterima daripada orang ramai apabila dihulurkan risalah-risalah yang dibekalkan. Ada yang menerima dengan baik dan ada juga yang menolak dengan kasar. Begitulah realitinya mehnah dan tribulasi yang diterima oleh para daei. Diterima ataupun ditolak. Mind setting dan niat mesti diselaraskan secara positif untuk melakukan gerak kerja sebagini. Antara pengisian yang terdapat dalam risalah tersebut adalah ‘Punca Utama Masalah Sosial’, ‘Berpakaian Tetapi Bertelanjang’ dan sebagainya.

Budaya melepak yang tidak berkesudahan.
Di samping menyebarkan risalah, kami juga akan berbual-bual dengan ‘remaja bertuah’. Selami hati mereka, tanyakan masalah mereka, azam mereka dan sebagainya. Supaya mereka sedar masih ada yang sayang dan prihatin terhadap mereka. Jiwa mereka kosong. Tidak diisi dengan cahaya rohani. Namun terdapat juga segelintir daripada mereka yang sebenarnya sedang mencari hidayah Allah untuk kembali ke pangkal jalan.

Mereka mahukan dan perlukan bimbingan.
Mereka paham apa yang halal dan apa yang haram. Tetapi, lemah daripada segi pelaksanaan dan amalan. Mereka mahu berubah. Tetapi, tidak tahu siapa yang boleh membimbing mereka. Jadi siapa lagi yang perlu memberikan penerangan? Sudah tentulah golongan-golongan yang paham dan jelas yang sepatutnya menjadi agen penerangan dan perubahan kepada masyarakat sekeliling. InsyaAllah.

Program ini berakhir pada pukul 3.00 pagi. Semua sukarelawan agama Allah berkumpul semula di Masjid Asy-Syakirin untuk program seterusnya. Cukup sampai di sini sahaja. Jumpa lagi di entri yang berikutnya.

Wallahu’alam.