Sahabat yang amat diperlukan setiap masa adalah seperti udara.
Jika dia terputus daripadamu maka engkau akan mati.
Dia adalah sahabat yang dapat mendekatkan dirimu kepada Allah.
Sahabat seperti penyakit adalah sahabat yang perlu engkau jauhi.
Dialah yang mendekatkan dirimu kepada neraka.
Sila pandang kawan di sebelah anda (jika anda berteman). Adakah anda pernah merancang untuk bertemu dengan rakan di sebelah anda itu sebelum anda mengenalinya? Sememangnya tidak pernah terlintas di fikiran bahawa anda akan berkenalan dengannya. Inilah takdir. Perkenalan dua orang sahabat ditentukan Allah. Malahan manusia sendiri tidak pernah merancang sesuatu pertemuan. Daripada pertemuan, wujudnya kasih sayang. Niat berkawan kerana ALLAH menguatkan lagi ukhuwah yang terjalin. Apatah lagi jika kedua-duanya berkongsi minat dan hobi yang sama. Gelak bersama, musafir bersama, makan bersama, sembahyang berjemaah bersama, baca Al-Quran bersama. Maka, akan terciptalah kuasa persahabatan yang mantap.
Percintaan Dalam Persahabatan.
Lelaki sesama lelaki ataupun perempuan sesama perempuan, mengaku saling menyintai satu sama lain kerana Allah. Salahkah? Sekali dengar, macam pelik. Sudah seperti homoseksual mungkin. Walaubagaimanapun, memang wujud cinta lelaki dan lelaki yang mana tujuan utamanya adalah kerana Allah. Subhanallah.
Berbalik kepada persoalan cinta sebentar tadi. Kita selalu mengaitkan cinta itu hanya tercipta antara lelaki dan perempuan. Lagi-lagi dalam bulan Februari ini masing-masing sibuk mahu menyambut Hari Valentine. Cukuplah saya katakan di sini bahawa hukumya adalah haram. Untuk maklumat lebih lanjut bolehlah bertanya kepada orang yang sepatutnya ataupun cari sendiri di Google. Boleh juga masuk link ini: http://secerah-nurrahman.blogspot.com/2011/02/diskusi-sayang-awak-rindu-awak.html. Ulasan menarik daripada sahabat saya.
Pernahkah kita tahu, bahawa wujudnya percintaan dalam persahabatan?
Rasulullah Sollallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:
“Tujuh orang yang akan dilindungi Allah dalam naungan-Nya yaitu: Imam (pemimpin) yang adil; pemuda yang tumbuh dewasa dalam beribadah pada Allah; orang yang hatinya selalu terikat pada masjid; dua orang yang saling mencintai kerana Allah, berkumpul kerana Allah dan berpisah kerana Allah; seorang lelaki yang dirayu oleh seorang wanita yang mempunyai kedudukan dan kecantikan tetapi ia menolaknya seraya berkata ‘Aku takut kepada Allah’; orang yang bersedekah sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diperbuat oleh tangan kanannya; dan seorang yang berdzikir kepada Allah sendirian lalu menitikkan airmatanya.” (HR. Bukhari Muslim)
Perumpamaan orang beriman yang berkasih sayang, dan saling rahmat merahmati dan di dalam kemesraan sesama mereka adalah seperti satu tubuh, apabila satu anggota mengadu sakit, maka seluruh tubuh akan turut merasainya dan membantunya dengan berjaga malam dan demam.” (Riwayat Muslim)
“Allah Azzawajalla berfirman: Orang-orang yang berkasih sayang kerana kemuliaanKu, mereka mempunyai beberapa-beberapa mimbar dari cahaya, sangat dicita-citakan tempat-tempat mereka itu oleh para Nabi, Shiddiqin dan Syuhada.” (Riwayat At-tirmizi, Ahmad, Ibnu Hibban, Hakim)
“Ada seorang lelaki yang ingin mengunjungi saudaranya di sebuah desa. Di dalam perjalanannya Allah Subhanahu wa ta’alaa mengutus seorang malaikat untuk mengawasinya. Ketika lelaki itu sampai padanya, malaikat itu berkata, “Kemanakah engkau akan pergi?’ Lelaki itu menjawab, ‘Aku ingin mengunjungi saudaraku di desa ini.’ Malaikat itu bertanya lagi, ‘Apakah engkau punya kepentingan dari kenikmatan di desa ini?’ Lelaki itu menjawab, ‘Tidak, hanya saja aku mencintai saudaraku karena Allah.’ Kemudian malaikat itu berkata, ‘Sesungguhnya aku adalah utusan Allah Subhanahu wa ta’alaa yang diutus kepadamu, bahawa Allah juga mencintaimu sebagaimana kamu mencintai-Nya.” (Muslim)
Kenapa Engkau Menyintainya?
Dipetik dari kitab Nasihat Agama dan Wasiat Iman oleh Imam Habib Abdullah Haddad :
1) Apabila seseorang mencintai orang lain, bersahabat dan membiasakan diri dengannya, kerana dilihatnya orang itu mencintai Allah dan taat-setia kepada perintah Allah, maka hal sedemikian itulah yang dikatakan bercinta-cintaan kerana Allah Ta’ala;
2) Ataupun jika ia mencintai orang itu dan bersahabat dengannya, kerana orang itu membantunya di dalam selok-belok agama, dan mengarahkannya untuk bertaat-setia terhadap Tuhannya, maka hal sedemikian itu juga dikira bercinta-cintaan kerana Allah;
3) Ataupun jika ia mencintai orang itu dan bersahabat dengannya, kerana orang itu membantunya dalam urusan keduniaan, yang mana dengannya pula ia bisa mengurus urusan akhiratnya, maka itu juga termasuk cinta-mencintai kerana Allah;
4) Ataupun jika ia mencintai orang itu dan bersahabat dengannya, kerana dirinya merasa senang berkawan dengan orang itu, dan dadanya merasa lapang senang berkawan dengan orang itu, dan dadanya merasa lapang bila duduk bersama-sama dengannya;
5) Ataupun orang itu dapat menolongnya di dalam urusan dunianya, dan di dalam hal-ehwal kehidupannya, yang menerusinya ia boleh hidup senang-lenang, maka cinta serupa itu adalah cinta biasa yang tidak ada kena-mengena sedikit pun dengan Allah.
6) Adapun jika ia bersahabat kepada seseorang, kerana orang itu bisa menemannya untuk pergi ke tempat maksiat, atau membantunya untuk menganiaya orang, ataupun memimpin dan menunjuknya ke jalan-jalan fasik dan mungkar, maka persahabatan serupa itu dan kecintaan serupa itu adalah persahabatan dicela dan kecintaan yang tidak berguna, kerana ia menarik kita ke jalan syaitan, yang tidak kena-mengena dengan Allah.
Persahabatan dan kecintaan sebeginilah yang akan bertukar menjadi permusuhan di akhirat kelak. Sama-samalah bermuhasabah.
Jom Bermusafir Bersama
Jika ditanya kepada saya, apakah cara yang efektif untuk mengukuhkan ukhwah yang sedia ada? InsyaAllah, jawapan saya adalah dengan kita bermusafir bersama. Jadikan musafir sebagai aktiviti bersama agar kita mengenali lebih dekat, luar dan dalam sahabat kita dan demi menjamin kesefahaman antara sahabat. Daripada musafir itu, kita dapat makan bersama, gelak bersama, solat berjemaah bersama dan segalanya bersama-sama. Jadi, jemput singgah di entry ini: Musafir Bersama, Ukhwah Terbina dan Semanis-manis Gula, Manis Lagi Ukhwah.
Dan sebelum terlupa, makan bersama di dalam talam juga adalah salah satu cara untuk mengenali sahabat kita. Tidak percaya? Cubalah sendiri. Teruskan memberi dan memberi. Kita bukan hanya penerima. Jadilah Give and Take sebagai pengikat kasih sayang antara sahabat. pendengar yang setia serta berkongsi pandangan dan luahan.
Kita selalu melihat dia ketawa, tetapi mungkin sebenarnya dia tidaklah setabah yang kita sangka. Di sebalik senyumannya itu, mungkin banyak cerita sedih yang ingin diluahkan. Di sebalik ketenangannya, mungkin tersimpan seribu kekalutan. Kita tidak tahu semua ini, tetapi jika kita cuba menjadi sahabat seperti dia, mungkin kita akan tahu. Sesekali jadilah kawan yang mendengar berbanding yg banyak bercerita.
Thank you for being my friends!!
Wallahu'alam.