Monday, August 1, 2011

Saya Mahasiswa. Awak?

Mahasiswa merupakan pewaris kepimpinan negara dan masyarakat. Apabila memperkatakan mengenai mahasiswa, sudah pasti kita terbayang susuk tubuh muda yang sedang berada di menara gading dan mempunyai daya intelektual yang tinggi. Mahasiswa memiliki karakter positif lain antaranya adalah idealis. Apa yang dimaksudkan dengan idealis ialah mahasiswa masih belum dipengaruhi  oleh kepentingan peribadi, juga belum terbebani oleh beban tanggungjawab dan jawatan. Mahasiswa bebas untuk berfikir dan berkongsi buah fikiran untuk kepentingan masyarakat dan negara. Ertinya mahasiswa masih bebas menempatkan diri pada posisi yang dia anggap terbaik, tanpa adanya percampuran dan bebanan yang terlalu besar.


Sebenarnya peranan mahasiswa amatlah besar. Sejarah Islam sendiri membuktikan bahawa pengaruh dan peranan mahasiswa mahupun pemuda sangatlah penting antaranya, kita boleh lihat sendiri peristiwa yang melibatkan Nabi Ibrahim, Umar al-Khattab, Zaid bin Harithah, Abu Ubaidah al-Jarrah, Ashabul Kahfi dan ramai lagi yang boleh diambil iktibar. Menyedari kekuatan yang ada pada mahasiswa, sudah pastilah di sana ada tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh seorang mahasiswa berdasarkan peranan-peranan tertentu lebih-lebih lagi jika seseorang itu digelar Mahasiswa Islam.

Ironinya, pada hari ini kita dapat melihat bahawa mahasiswa kian lesu. Mahasiswa kian layu. Kebanyakannya hanyut dengan dunia hiburan dan internet tanpa sempadan. Mengapa jadi begini? Sudah tentu kerana kurangnya kesedaran mengenai peranan mereka yang sememangnya besar. Mereka tidak sedar di bahu mereka tergalas tanggungjawab yang maha besar yang mana apabila diabaikan akan meninggalkan efek yang besar kepada agama, bangsa dan negara.

Menyedari perkara itu beberapa beberapa peranan mestilah dijalankan untuk melahirkan mahasiswa yang sedar realiti sebenar kehidupan. Realiti bahawa masyarakat memang memerlukan tenaga kerja daripada mahasiswa berwibawa.

Memperkaya Ilmu dan Menyebarkannya

Mahasiswa tidak dapat lari daripada bayangan ilmu kerana peranan mahasiswa itu sendiri tentu sekali adalah menuntut ilmu. Namun begitu, sesuatu yang mereka tidak sedar adalah dengan hanya menuntuk ilmu, menghadiri kuliah, membuat tutorial itu bukanlah kaedah yang terbaik untuk melahirkan mahasiswa yang berwawasan. Mahasiswa yang cemerlang bukan hanya menghafal untuk peperiksaan. Mahasiswa yang gemilang bukanah mahasiswa yang hanya belajar untuk menghadapi peperiksaan. Tetapi mahasiswa yang cemerlang dan gemilang adalah mahasiswa yang tahu ke mana patut dihalakan ilmu yang ‘diserap’ untuk diaplikasikan dalam kehidupan.

Tugasan juga kita bukan sekadar berpencak di gelanggang pidato dan syarahan sehala semata-mata, bahkan tugasan kita adalah untuk turun ke medan dan menerangkan kepada masyarakat dengan kaedah yang berkesan tentang ilmu yang kita ada. Sekarang ini, menguasai cara penyampaian amat penting supaya manfaat ilmu itu dapat dikongsi bersama.

Bersama Mengislahkan dan Berdakwah

Kesedaran untuk membuat kebaikan dan menjauhi kemungkaran adalah bermula dalam diri kita sendiri. Jika kita tidak mahu orang duduk berdua-duaan, maka kita juga tidak patut buat seperti mana yang tidak kita inginkan. Diri mahasiswa perlu terdidik dengan didikan rabbani, yang mana setiap tindakan yang dilakukan perlu berpaksikan kepada Tuhan. Dengan cara ini, rasa malu untuk melakukan kemungkaran pasti akan muncul.

Setiap mahasiswa mestilah berusaha ke arah yang lebih baik. Perubahan yang baik mampu mewujudkan suasana yang positif. Jadi secara tidak langsung akhlak mahasiswa akan berubah ke tahap yang lebih ilmiah. Bermula dari situ, tidak mustahil bagi jangka masa yang panjang kita mampu mewujudkan suatu suasana yang sepenuhnya mengikut kehendak Islam yang hakiki. Perkara ini mampu direalisasikan jika ia dilakukan dengan berhemah, wujudnya sistem pelaksanaan yang baik, tunjukkan akhlak yang terpuji dan memikirkan kesan positif dalam jangka masa pendek dan masa panjang. Jangan mudah menyalahkan kesalahan kepada pihak yang berwajib. Cubalah perbaiki kelemahan diri sendiri dan kawal emosi. Manusia tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Jadikan kesilapan terdahulu untuk menguatkan kekuatan yang kita miliki sekarang.

Kita tidak mampu mengubah setiap manusia, tetapi jika kita berusaha ke arah perubahan, Allah jua yang mengubahnya. Apa yang diperlukan adalah usaha. Sematkan dihati bahawa Allah sentiasa berada dekat dengan diri dan membimbing kita.

Mengoptimumkan Penggunaan Masa

Mahasiswa pada hari ini begitu selesa. Masa terluang dibiarkan berlalu begitu sahaja. Tiada langsung kesedaran untuk mengisinya dengan perkara yang bermanfaat. Kebanyakannya habis diisi dengan tidur, hiburan sana sini dan melayari internet dengan tiada nilai tambah dalam kehidupan.

Mahasiswa khususnya yang beragama Islam sering mendengar cerita berkatnya masa ulama-ulama yang menjadi tauladan kepada umat. Tetapi kebanyakan  mereka tidak langsung mengambil pengajaran daripada betapa berdisiplinnya ulama dalam menyayangi dan mengatur masa mereka. Ambillah pengajaran riwayat hidup Imam an-Nawawi yang walaupun hidupnya hanya lebih 40 tahun tetapi mutu umurnya seolah-olah lebih seratus tahun. Seterusnya bandingkan realiti pengurusan masa mahasiswa Islam sekarang yang banyak dihabiskan dengan tidur dan hiburan.

Kesimpulan

Mahasiswa harus berfikir jauh ke hadapan dan sentiasa memikirkan masalah masyarakat kita yang semakin meruncing pada hari ini. Carilah jalan untuk cuba selesaikannya. Perkara-perkara beginilah yang akan melahirkan mahasiwa yang cemerlang, matang dan berfikiran pemimpin. Ingatlah, pemimpin yang sejati tidak hanya lahir di dewan kuliah, tapi juga daripada kancah permasalahan rakyat dan masyarakat..

Mahasiswa harus terus sedar bahawa mereka semua sedang memegang tanggunjawab yang besar dalam menyiapkan diri menghadapi cabaran mendatang. Oleh itu, tidaklah tepat sekiranya mahasiswa Islam hanya berpeluk tubuh dan membuang masa tanpa melakukan tanggungjawab itu. Binalah diri anda, pahatkanlah sejarah dan ciptalah zaman. Moga dengan tanggungjawab yang dilaksanakan akan dapat mendaulatkan Islam suatu hari nanti.

P/S: Dah lama tak post entry yang jenis-jenis macam ni. Hihi..~

2 comments: