Saturday, January 8, 2011

Your Life Your Choice - Edisi PRK

Sedarkah sahabat-sahabat sekalian bahawa hidup kita adalah dipenuhi dengan pilihan dan pengorbanan? Hidup kita diteruskan dari sehari ke sehari dengan pilihan yang kita lakukan. Manakala, apa-apa yang tidak menjadi pilihan kita secara automatiknya akan menjadi pengorbanan bagi diri kita.

Dan perkara yang perlu diingati, selepas kita membuat pilihan dalam hidup kita, pilihan itu akan berpecah kembali menjadi pilihan dan pengorbanan kerana hidup ini perlu diteruskan dengan segala keputusan yang akan kita putuskan. Sekali lagi kita akan memilih jalan hidup kita. Rutin ini tidak akan berakhir hinggalah roh terpisah daripada jasad meninggalkan dunia yang fana ini. Berani dan yakinlah dalam membuat keputusan.


Mari kita sama-sama telusuri kembali zaman silam. Saya tidak mahu mengimbau zaman yang terlalu jauh tapi cukuplah sekadar zaman kita masih di bangku sekolah. Zaman sekolah menengah. Selepas SPM. Kita mempunyai pilihan tempat untuk melanjutkan pengajian kita sama ada di Kolej Matrikulasi, Program Asasi Universiti, STAM, STPM, Politeknik mahupun ke luar negara. Andaikata kita memilih untuk melanjutkan pengajian ke Kolej Matrikulasi, maka tawaran-tawaran yang lainnya akan menjadi pengorbanan bagi diri kita.

Adalah mustahil bagi kita manusia biasa untuk berada di dua tempat sekaligus. Jadi pilihan telah dibuat, hidup harus diteruskan. Perkara yang sama berlaku semasa pemilihan universiti untuk pengajian sarjana muda. Jika UKM menjadi pilihan anda, sudah tentu  UPM, UiTM, UTM dan lain-lain universiti akan menjadi pengorbanan dalam hidup kita.

Bahang Pilihanraya Kampus (PRK) kian terasa di kebanyakan universiti di seluruh Malaysia. Dijangkakan PRK bagi UKM akan dijalankan dalam masa yang terdekat. Sebagai mahasiswa yang prihatin, kita seharusnya cakna dan peka dengan isu-isu semasa. Janganlah hanya menjadi mahasiswa yang hanya hebat di dewan kuliah dan dewan peperiksaan tetapi bila dicampakkan ke dalam kelompok masyarakat menjadi patung boneka yang hanya mengikut sahaja segala sistem yang sedia ada. Kita seharusnya bersikap kreatif dan kritis untuk membina kemahiran insaniah (soft skills) seperti yang diingini oleh pihak universiti. Kritikan yang membina lebih baik daripada diam seribu bahasa mengiyakan semua perkara.

Berbalik kepada pilihan dan pengorbanan. PRK menginginkan mahasiswa untuk membuat pilihan. ASPIRASI UKM ataupun GABUNGAN MAHASISWA UKM (GMUKM). Inilah yang dinamakan demokrasi. Janganlah demokrasi ini dikotori dengan ugutan dan ancaman yang tentu sekali akan membantutkan mahasiswa untuk memilih calon mahupun parti yang sememangnya sesuai dengan fitrah mereka.

http://aspirasi-ukm.blogspot.com/

http://gm-ukm.blogspot.com/
Kewajipan melantik pemimpin yang adil adalah merupakan satu tanggungjawab yang tidak dapat disangkal lagi buat setiap insan yang mengungkap dua kalimah syahadah. Kepincangan dalam pemilihan ini sebenarnya boleh membawa kepada lenyapnya keadilan dan keamanan dan seterusnya akan meletusnya kemungkaran dan kerosakan yang tidak terhingga.

Maka tidak hairanlah, Islam telah menjanjikan kedudukan yang tinggi kepada para imam yang adil dan mereka inilah pewaris para nabi yang sentiasa menjaga kesucian agama Allah daripada terus dicemari.Sabda Rasulullah dalam hadisnya:

"Orang yang paling disayangi oleh Allah pada hari kiamat dan paling rapat kedudukan nya dengan Allah kelak ialah para imam yang adil". (Riwayat Tarmizi)

Justeru, Islam telah melakarkan kepada kita beberapa ciri yang perlu ada pada pemimpin rabbani ini antaranya:

1 . Islam. Pemimpin itu mestilah seorang muslim yang benar-benar menghayati agamanya dan bukannya Islam hanya pada kad pengenalan sahaja tetapi tidak mengamalkan syariat Islam dalam kehidupan.

2 . Adil . Sifat ini perlu dimiliki oleh pemimpin umat islam. Ia adalah ibarat penyaksian kepada terlaksananya hukum Allah atau tidak dimuka bumiNya ini.

3 . Ilmu. Golongan ulama dan umara perlu digabungkan untuk membentuk satu kesatuan bersepadu merencanakan arah geraknya masyarakat Islam didalam kehidupan seharian. Apatah lagi kalau sifat ini dimiliki pula oleh seorang pemimpin yang berwibawa dan berhemah tinggi.

4 . Melaksanakan hukum Allah. Pemimpin yang sering manganjurkan program-program yang lagho, sia-sia dan melanggar hukum Allah sudah tentu tidak menjadi pilihan.

5 . Bersikap sama rata dan tidak berlaku zalim. Tidak berlaku zalim dengan menggunakan peruntukan yang diberi sewenang-wenangnya.


Sepotong kata-kata jawapan yang telah dinyatakan oleh Al-imam Hasan al Basri kepada Amirul Mukminin –Umar bin Abd Aziz ketika ditanya tentang apakah kriteria sebenar seorang pemimpin umat islam dengan katanya,

" Sesungguhnya Allah telah menjadikan para imam yang adil itu adalah pembaiki kepada kerosakan, pembetul kepada penyelewengan, pemusnah kepada kezaliman dan pembela kepada yang lemah, pembantu kepada yang dizalimi. Dialah yang melaksanakan hak-hak Allah kepada hambanya, mendengar ayat-ayat Allah dan memperdengarkannya kepada rakyatnya, melihat tanda kekuasaaannya dan memperlihatkannya kepada mereka, berjalan diatas tali Allah dan mengajak manusia bersamanya, dia umpama seorang hamba kepada para rakyatnya –menjaga harta dan juga keluarga tuannya, tidak sekali-kali menghukum dengan cara jahiliah dan mengikut hawa nafsu mereka,tidak menyelusuri jalan orang-orang yang zalim, tidak bersifat dengan golongan pembesar mustakbirin dalam menindas golongan lemah mustad'afin, dialah penjaga anak yatim, pembantu kepada orang–orang miskin, mendidik anak-anak mereka dan menjaga kaum tua mereka."

Beginilah kriteria kepimpinan yang diimpikan oleh Islam. Cuma apa yang diharapkan ialah mereka ini mampu untuk melaksanakan perintah dan hukum Allah di atas bumi ini. Pilihan dan pengorbanan. Jika anda tidak memilih pemimpin yang bercirikan Islam, seolah-olah anda mengorbankan Islam. Seakan-akan anda memperlekehkan Islam.


Jadi, timbul persoalan oleh sahabat-sahabat bahawa tiada satu pun calon yang bertanding dalam PRK yang menepati semua ciri yang telah digariskan Islam seperti yang dinyatakan sebentar tadi. Jawapan saya mudah sahaja. Sememangnya diakui bahawa tiada manusia yang sempurna selain junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW. Oleh itu, pilihlah calon-calon atau parti yang menghampiri ciri-ciri tersebut. Pilihlah yang paling hampir. Semoga Allah mengira undi anda sebagai satu ibadah dan jihad untuk bersama-sama pendokong agama untuk memartabatkan Islam di bumi UKM ini.

Pilihan di tangan anda. Andai pilihan telah dibuat berdasarkan ciri-ciri pemimpin Islam tersebut. Yakinlah dengan janji Allah bahawa Allah akan menolong orang yang membantu agamaNya. Abaikan segala ugutan dan ancaman.

ASPIRASI UKM ??

atau

GABUNGAN MAHASISWA UKM ??

YOUR LIFE YOUR CHOICE.

Wallahu’alam.

1 comment: