Monday, January 17, 2011

Kalau Sayang Tak Perlu Marah?


Argh...!!! Marah. Marah. Marah.

Reaksi marah ini adalah sesuatu yang normal sebagai seorang manusia. Jika anda tidak pernah marah, anda mungkin adalah makhluk daripada planet lain. Gurau sahaja. Bersifat marah itu adalah berpunca dari perasaan panas hati kerana sesuatu sebab yang tertentu seperti tersinggung perasaan atau dihina, ditipu dan terasa diri dibuli.




Apabila seseorang itu marah, maka syaitan dan iblis akan menguasai nafsu untuk mengheret sesoorang itu menjadi lebih marah lagi, hingga kadang kadang akan bertindak diluar batasan kemanusian. Ada orang yang mampu menahan amarahnya walau dia berada dalam situasi apapun. Namun begitu, ada juga insan yang panas baran. Tidak mampu untuk menahan amarah walaupun hanya melibatkan sekecil-kecil perkara.

Realitinya, ketika memarahi seseorang, seronoknya di awal dan pahitnya datang kemudian. Kita berasa seronok memarahi orang yang bersalah itu kerana dia telah menerima maki hamun kita. Kita berasa puas. Dia mendapat balasan kerana perbuatannya sendiri.


Sebaliknya, jika kita menahan marah, ia sememangnya pahit kerana kita mungkin dituduh pengecut atau dayus kerana membiarkan sahaja diri kita diperlekehkan dan dipersalahkan orang walaupun terang-terangan kesalahan itu bukan berpunca daripada kita. Tetapi, ingatlah sahabat-sahabat, kita akan merasa manis di akhirnya kerana kesabaran untuk menahan marah itu sememangnya manis.

Balasan baik hindari marah. Abu Hurairah dan Said Al-Magburi meriwayatkan: “Ada seseorang lelaki memarahi Saidina Abu Bakar. Ketika itu Rasulullah duduk di sebelahnya.

Nabi diam saja, begitu juga Abu Bakar.

Selepas orang itu selesai memaki hamun dengan mengeluarkan kata-kata kesat, Abu Bakar membalas makian itu, tetapi Rasulullah bangun dan beredar dari situ.

Abu Bakar hairan dan terus mengekori Nabi Muhammad sambil berkata: “Ya Rasulullah, dia memaki saya dan engkau pula diam. Ketika saya menjawab maki hamun itu, tiba-tiba engkau bangun lalu pergi.”

Rasulullah lantas menjawab: “Sesungguhnya malaikat mengembalikan semua makian orang itu kepadanya ketika engkau diam, tetapi ketika engkau membalas makian itu, maka malaikat pergi dan syaitan pula masuk dan saya tidak suka duduk bersama syaitan.”

Rasulullah kemudian bersabda lagi: “Allah akan memuliakan hamba-Nya ketika sedang dianiaya lalu memberikan kemaafan sambil mengharapkan keredaan Allah.”


Abu Said al-Khurdi pula berkata: Rasulullah ada bersabda: “Awaslah kamu daripada sifat marah kerana marah itu menyalakan api dalam hati anak Adam.

“Maka sesiapa yang berasakan demikian ketika berdiri, hendaklah dia duduk dan jika dia duduk hendaklah ia berbaring.”

Abu Hurairah al-Bahili berkata bahawa Rasulullah pernah bersabda: “Sesiapa yang pemarah tetapi dapat menahan marahnya dengan sabar, maka Allah akan mengisi hatinya dengan keredaan pada hari kiamat.”

Begitulah betapa Islam menuntut para penganutnya supaya menahan marah.


Marah Tanda Sayang

Reaksi marah sering dikaitkan dengan kebencian. Ya, memang benar bahawa perasaan marah itu timbul kerana kebencian, kerana dendam kesumat. Namun begitu, untuk sesetengah situasi yang lain, marah itu dikaitkan dengan sayang terutamanya apabila ia melibatkan orang-orang yang rapat dengan kita.


Ayah: “Kenapa tak solat-solat Asar lagi? Kan dah nak dekat Maghrib tu. Cepat solat sekarang!!”

Abang: “Adik, abang tak suka lah adik bercampur dengan budak-budak nakal tu. Kalau abang nampak lagi lepas ni, tahulah!!”

Warden: “Asyik-asyik muka kamu je yang ‘kantoi’ fly. Mari sini masuk bilik warden. Bila sudah merasa rotan baru nak beringat kot.”


Apabila ayah, ibu, abang, kakak mahupun cikgu memarahi kita, adakah itu bermaksud mereka membenci kita? Ataupun mereka marah kerana mereka sayang?

Jawapannya, sudah tentulah kerana mereka menyayangi kita. Ibubapa mana yang mahu melihat anak-anaknya terus hanyut dalam kehidupan yang penuh dengan cabaran ini? Lagi-lagi dalam zaman moden berteknologi tinggi ini, anak-anak daripada setiap peringkat umur dihidangkan dengan hiburan yang melampau. Budaya hedonism menguasai setiap pelosok kediaman. Mr Google dan Mr Facebook menjadi kewajipan anak-anak zaman ini. Meracuni pemikiran mereka semua. Menjadikan mereka bebas mengakses apa-apa sahaja yang mereka ingini. Di tambah pula dengan isu pergaulan bebas, zina, pembuangan bayi dan kefahaman agama yang kurang.

Huh! Anak-anak moden kini. Terlalu terkehadapan hingga meninggallkan agama Islam jauh di belakang. Inilah yang akan berlaku jika ibubapa langsung tidak menegur atau memarahi anak-anak yang melakukan kesilapan. Perkara ini mesti diambil berat semenjak mereka kecil lagi. Jika terlambat sedikit, sudah pasti, teguran ibu bapa tadi dibalas dengan maki hamun oleh anak yang tidak mengenang jasa tersebut.

Kesimpulan

Jadilah kita hamba Allah yang mampu menahan amarah. Tidak rugi sekiranya kita membalas orang yang sedang marah itu dengan berlapang dada dan senyuman. Ia adalah lebih baik daripada membalasnya dengan marah. Kerana jika marah dibalas marah ibarat api dibalas dengan api, sudah tentulah api tersebut akan lebih marak. Tetapi, jika dibalas dengan senyuman dan cara-cara lain yang berhikmah adalah ibarat api yang disiram dengan air. InsyaAllah perasaan amarah itu akan hilang sedikit demi sedikit. Bersikap rasionallah dalam setiap situasi. Jangan bertindak ikut emosi dan nafsu semata-mata. Senyum sokmo.

Wallahu’alam.


No comments:

Post a Comment