Wednesday, November 3, 2010

Inilah Takdir Que #1

Inilah Takdir Que
Hasil Karya: Harith Faisal Bin Mohd Imam Ma'arof


P/S: Ini bukan cerpen air mata. Tapi, ini adalah cerpen santai yang punya pengajaran. Selamat membaca! Moga terhibur.

BAHAGIAN SATU

Di ufuk timur sang suria pagi mula memancarkan cahaya kemilau emasnya untuk menerangi bumi FELDA Sungai Behrang. Titik-titik embun berterbangan mengakhiri tugasnya memberikan kesejukan di pagi ini, dengan janji untuk kembali esok. Burung-burung berkicauan mengawali hari ini dengan keceriaan menyebar ke penjuru bumi untuk mencari rezeki yang telah disediakan oleh Allah.


Tanpa diduga, langit yang tadinya mula bercahaya kini menggelap. Awan hitam melindungi. Hadir bersama titis-titis hujan renyai. Lama kelamaan, hujan lebat membasahi bumi. Sudah tentu peneroka-peneroka FELDA yang sedang menoreh getah bergegas pulang ke rumah masing-masing. Mencari teduhan.

Kelihatan kelibat seorang remaja lelaki di jendela sebuah rumah. Khusyuk melihat titisan hujan. Mengamati keindahan ciptaan Allah. Subhanallah. Betapa agungnya kekuasaan Allah. Hujan hari ini adalah nasib baik atau malang? Dia teringat kata-kata pakar motivasi dalam sebuah rancangan ilmiah di televisyen tempoh hari.

“Kehidupan seharian kita sememangnya tidak boleh terlepas daripada nasib baik atau malang. Jadi, terpulanglah kepada kita bagaimana kita mahu menguruskannya. Jika kita mahu hidup kita tenang dan bahagia, cubalah sentiasa berfikir bahawa apa-apa sahaja yang kita lalui adalah susunan terbaik daripada Allah. Sememangnya ada hikmah-hikmahnya yang tersembunyi yang hanya menunggu masa sahaja untuk dizahirkan. Terimalah segala yang berlaku seadanya. Siapa tahu ia adalah nasib baik atau malang?”

(Siapa tahu ini adalah nasib baik atau malang?..)bisik hati kecilnya.

No comments:

Post a Comment